Bengkel Business Process Reengineering (BPR) Bagi Pembangunan Lesen dalam Projek BNG
CYBERJAYA, 6 November 2024 – Bengkel Business Process Reengineering (BPR) bagi pembangunan lesen dalam Projek BLESS Generasi Baharu telah diadakan pada 5 dan 6 November 2024 bertempat di Dash Box Hotel, Cyberjaya.
Bengkel ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk meneliti dan menambah baik aliran proses permohonan lesen bagi lesen-lesen agensi yang akan dibangunkan dalam Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG).
Pelaksanaan bengkel ini turut mendapat kerjasama dan khidmat nasihat daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) berkaitan pelaksanaan aktiviti BPR di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). Pendekatan ini bertujuan memastikan proses kerja sedia ada dapat diteliti secara menyeluruh bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, pengurangan kerenah birokrasi serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Sepanjang bengkel berlangsung, sebanyak lima (5) Pihak Berkuasa Melesen (PBM) telah membentangkan cadangan penambahbaikan terhadap proses kerja permohonan lesen masing-masing. Pembentangan dan sesi perbincangan yang diadakan memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk meneliti proses sedia ada serta mencadangkan pendekatan yang lebih cekap dan berorientasikan pengguna.
Hasil bengkel ini akan menjadi salah satu input penting dalam pembangunan fungsi pelesenan BLESS Generasi Baharu, selaras dengan usaha memperkemas proses permohonan lesen dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital kepada pengguna.


