MAJLIS PELANCARAN SISTEM BLESS GENERASI BAHARU (BNG)
PUTRAJAYA, 13 OKTOBER 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melancarkan Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Satria, Dorsett Hotel Putrajaya. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP, dengan kehadiran 200 orang tetamu yang terdiri daripada wakil Kementerian dan agensi Kerajaan serta pihak berkepentingan dalam ekosistem perniagaan.
Majlis ini turut menyaksikan pelancaran rasmi logo dan slogan baharu BNG sebagai identiti baharu sistem yang mencerminkan aspirasi transformasi digital perkhidmatan pelesenan perniagaan. Pengenalan identiti ini menandakan satu langkah baharu dalam usaha memperkukuh penjenamaan BNG sebagai platform digital bersepadu yang lebih moden dan mesra pengguna.
Pelancaran BNG merupakan inisiatif pendigitalan bagi menaik taraf sistem BLESS sedia ada melalui penyediaan platform digital bersepadu untuk memudahkan urusan permohonan dan pengurusan lesen perniagaan. Pembangunan sistem ini bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, di samping menyediakan pengalaman penggunaan yang lebih mudah, sistematik dan mesra pengguna kepada usahawan serta komuniti perniagaan.
Melalui BNG, pengguna boleh mengemukakan permohonan serta menyemak status lesen, permit dan surat kebenaran perniagaan secara dalam talian. Kemudahan ini membolehkan pengguna memantau perkembangan permohonan dengan lebih mudah, sekali gus meningkatkan ketelusan dan memudahkan urusan dengan agensi pelesenan yang berkaitan.
Pelaksanaan BNG dibuat secara berfasa dengan pengaktifan lesen Kelompok 1 bermula pada 7 September 2026 dengan pengintegrasian enam (6) jenis lesen di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Pelaksanaan secara berperingkat ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluas integrasi perkhidmatan pelesenan ke dalam satu platform digital yang lebih menyeluruh.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh transformasi digital sektor awam melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, mudah diakses dan berorientasikan pengguna. Pelaksanaan BNG juga diharap dapat menyokong pembangunan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di Malaysia. Dari BLESS ke BNG: Melangkah ke Era Digital Baharu.








