A. Mengenai BLESS GENERASI BAHARU (BNG)
Apa itu BLESS GENERASI BAHARU?
BLESS Generasi Baharu (BNG) ialah platform sehenti digital yang dibangunkan oleh Bahagian Business Licensing Electronic Support System (BLESS), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan pelesenan perniagaan. Platform ini membolehkan pengguna mengurus permohonan, pemprosesan, kelulusan dan pengurusan lesen, permit serta kelulusan perniagaan daripada pelbagai agensi kerajaan secara lebih mudah, cekap dan bersepadu.
Apakah fungsi baharu dan terkini di BLESS GENERASI BAHARU?
Ciri-ciri Utama BLESS Generasi Baharu :
i. Platform Sehenti Bersepadu
– Mengurus pelbagai urusan lesen, permit dan kelulusan perniagaan daripada pelbagai agensi kerajaan melalui satu platform.
ii. Permohonan Lesen Secara Dalam Talian
– Permohonan boleh dikemukakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu hadir ke kaunter.
iii. Penghantaran Dokumen Secara Digital
– Dokumen sokongan dimuat naik secara elektronik bagi mempercepatkan proses permohonan.
iv. Cetakan Kendiri Lesen yang telah diluluskan (Self-Printing)
– Lesen yang telah diluluskan boleh dijana dan dicetak terus oleh pemohon melalui sistem tanpa perlu menunggu salinan fizikal.
v. Pembayaran Dalam Talian
– Pembayaran fi lesen secara dalam talian melalui platform iPayment bagi transaksi Kerajaan Persekutuan.
vi. Integrasi Data dengan Agensi Kerajaan
– Integrasi terus dengan agensi sumber seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi meningkatkan ketepatan serta mengurangkan pengisian data berulang.
vii. Semakan Status Secara Masa Nyata (Real-Time)
– Pemohon boleh memantau status permohonan pada setiap peringkat pemprosesan.
viii. Permohonan Sesi Konsultasi bersama Pegawai BLESS secara dalam Talian.Permohonan Konsultasi merupakan kemudahan yang membolehkan pengguna mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada pegawai BLESS berkaitan secara lebih terancang dan sistematik.
Bilakah BLESS GENERASI BAHARU mula berkuat kuasa?
Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG) akan mula berkuat kuasa pada 7 September 2026. Pelaksanaan BNG akan dilaksanakan secara berfasa dan berperingkat sehingga kesemua lesen sedia ada dalam Sistem BLESS 1.0 dan BLESS 2.0 berjaya dimigrasikan sepenuhnya ke Sistem BNG.
Sehubungan itu, lesen yang akan mula aktif dan boleh digunakan melalui Sistem BNG mulai 7 September 2026 adalah seperti berikut:
1. Lesen Alat Timbang dan Sukat (ATS)
2. Lesen Jualan Langsung
3. Lesen Wholesale, Retail and Trade (WRT)
B. Pengurusan Akaun Pengguna
I. Akaun Pengguna BNG
Bagaimana hendak mendaftar akaun pengguna BNG ?
Pengguna baharu boleh membuat pendaftaran akaun melalui halaman log masuk BLESS Generasi Baharu di
https://aplikasi.bless.gov.my dengan memilih pautan “Daftar Pengguna Baharu” dan melengkapkan maklumat pendaftaran yang diperlukan.
Setelah pendaftaran berjaya, pengguna boleh log masuk menggunakan ID Pengguna dan kata laluan yang telah didaftarkan untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan dalam sistem.
Adakah saya perlu mendaftar akaun baharu di BNG jika sudah mempunyai akaun BLESS 1.0 dan BLESS 2.0?
Tidak. Pengguna sedia ada BLESS 1.0 dan BLESS 2.0 tidak perlu membuat pendaftaran semula. Maklumat pengguna sedia ada akan dimigrasikan ke dalam Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG).
Pengguna boleh log masuk ke BLESS Generasi Baharu menggunakan ID Pengguna seperti di BLESS 1.0. dan BLESS 2.0. Setelah berjaya log masuk, E-mel pengesahan akan dihantar ke e-mel berdaftar bagi membolehkan pengguna menetapkan kata laluan baharu.
Bagaimana jika saya terlupa kata laluan dan ingin menetapkan semula kata laluan baharu di BNG?
Sekiranya anda terlupa kata laluan, anda boleh menetapkannya semula dengan mengikuti langkah berikut:
i. Masukkan No. ID Pengguna.
ii. Klik “Lupa Kata Laluan”.
iii. Jawab soalan keselamatan yang dipaparkan.
iv. Masukkan CAPTCHA seperti yang dipaparkan.
v. E-mel pengesahan akan dihantar ke alamat e-mel yang telah didaftarkan. Ikuti arahan dalam e-mel tersebut untuk menetapkan kata laluan baharu.
Adakah saya perlu membuat pembayaran semasa pendaftaran akaun di BNG?
Tidak. Pendaftaran akaun di Sistem BNG adalah percuma.
Apakah yang perlu saya lakukan selepas mendapat akses ke BNG?
Pengguna disarankan untuk menyemak dan mengemas kini maklumat profil bagi memastikan semua maklumat yang direkodkan adalah tepat dan terkini.
Ini termasuk maklumat pengguna serta maklumat organisasi yang berkaitan.
Mengapakah saya perlu menyemak dan mengemas kini maklumat profil saya?
Pengguna disarankan untuk menyemak dan mengemas kini maklumat profil bagi memastikan maklumat pengguna dan organisasi yang digunakan dalam urusan BLESS adalah tepat dan terkini.
II. Akaun Pengguna BLESS 2.0
Adakah Sistem BLESS 2.0 ditutup sepenuhnya mulai 7 September 2026?
Tidak. Sistem BLESS 2.0 masih beroperasi sepanjang tempoh transisi sehingga 26 Oktober 2026, jam 1.00 petang.
Namun, mulai 7 September 2026, semua urusan bagi lesen berikut hendaklah dibuat melalui Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG):
1. Lesen Alat Timbang dan Sukat (ATS)
2. Lesen Jualan Langsung
3. Lesen Wholesale, Retail and Trade (WRT)
Permohonan lesen yang terdapat di BNG adalah seperti berikut:
• Permohonan Lesen Baharu
• Pembaharuan Lesen
• Pindaan Lesen
• Cetak Semula Lesen
• Pembatalan Lesen
Adakah saya masih boleh log masuk ke Sistem BLESS 2.0 selepas 7 September 2026?
Ya. BLESS 2.0 masih boleh diakses seperti biasa bagi lesen yang belum aktif di BNG.
Bagi lesen yang telah aktif di BNG, iaitu Alat Timbang dan Sukat (ATS), Jualan Langsung (JL) dan Wholesale, Retail and Trade (WRT), akses ke BLESS 2.0 hanya diberikan untuk memberi maklum balas terhadap kuiri daripada pegawai pemproses lesen KPDN sehingga 26 Oktober 2026, jam 1.00 petang.
Apakah urusan yang TIDAK lagi boleh dilakukan di Sistem BLESS 2.0 mulai 7 September 2026?
Mulai 7 September 2026, anda TIDAK boleh lagi melakukan urusan berikut di Sistem BLESS 2.0 :
i. Pendaftaran & Pengurusan Pengguna
Pendaftaran & pengurusan pengguna, dan pengemaskinian profil pengguna.
ii. Pengurusan Organisasi
Anda tidak perlu lagi membeli maklumat SSM di BLESS 2.0.
Semua pengurusan maklumat organisasi perlu dilaksanakan di BNG.
iii. Urusan Lesen ( bagi lesen ATS, JL dan WRT sahaja)
• Permohonan Lesen Baharu
• Permohonan Pembaharuan Lesen
• Permohonan Perubahan Lesen
• Permohonan Cetak Semula Lesen
• Permohonan Pembatalan Lesen
Bilakah Sistem BLESS 2.0 mula ditutup sepenuhnya ?
Sistem BLESS 2.0 akan ditutup sepenuhnya daripada capaian umum mulai 26 Oktober 2026 Jam 1.00 Petang.
Saya mempunyai permohonan lesen yang masih dalam proses di BLESS 2.0. Apakah yang perlu saya lakukan?
Permohonan yang masih dalam proses di Sistem BLESS 2.0 hendaklah diselesaikan oleh Pihak Berkuasa Melesen (PBM) KPDN dalam tempoh peralihan.
Sepanjang tempoh tersebut, Sistem BLESS 2.0 masih boleh digunakan bagi tujuan memberikan maklum terhadap kuiri yang dikemukakan oleh pegawai pemproses lesen KPDN berkaitan permohonan sedia ada.
Adakah permohonan lesen baharu masih boleh dibuat melalui BLESS 2.0 selepas 7 September 2026?
Tidak. Mulai 7 September 2026, permohonan lesen baharu bagi Lesen Alat Timbang dan Sukat (ATS), Lesen Jualan Langsung (JL) dan Lesen Wholesale, Retail and Trade (WRT) tidak lagi diterima melalui Sistem BLESS 2.0.
Permohonan lesen baharu hendaklah dibuat melalui Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG).
Di manakah saya perlu menjalankan urusan BLESS selepas Sistem BLESS 2.0 ditamatkan?
Selepas Sistem BLESS 2.0 ditamatkan sepenuhnya pada 26 Oktober 2026, semua urusan berkaitan perkhidmatan BLESS hendaklah dilaksanakan melalui Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG).
III. Akaun Pengguna BLESS 1.0
Bagaimanakah pengguna BLESS 1.0 boleh mengakses sistem melalui BNG?
Pengguna yang telah berdaftar perlu mengakses Sistem BNG dan memilih pautan “BLESS 1.0” yang disediakan dalam Sistem BNG untuk meneruskan urusan berkaitan BLESS 1.0.
Adakah Sistem BLESS 1.0 akan ditutup sepenuhnya bermula 7 September 2026?
Tidak. Sistem BLESS 1.0 masih beroperasi seperti biasa.
Walau bagaimanapun, bermula 7 September 2026, akses dan log masuk ke sistem tersebut hendaklah dilakukan melalui platform BLESS Generasi Baharu (BNG).
Adakah saya masih boleh log masuk ke Sistem BLESS 1.0 selepas 7 September 2026?
Ya. Anda masih boleh log masuk dan Sistem BLESS 1.0 masih beroperasi seperti biasa.
Walau bagaimanapun, bermula 7 September 2026, akses dan log masuk ke sistem tersebut hendaklah dilakukan melalui platform BLESS Generasi Baharu (BNG).
Peralihan lesen-lesen di dalam BLESS 1.0 ke BNG akan dilaksanakan secara berperingkat dan berfasa.
Apakah urusan yang TIDAK lagi boleh dilakukan di Sistem BLESS 1.0 mulai 7 September 2026?
Mulai 7 September 2026, anda TIDAK boleh lagi melakukan urusan berikut di Sistem BLESS 1.0 :
i. Pendaftaran Pengguna
Pendaftaran dan pengemaskinian profil pengguna perlu dilaksanakan di BNG bagi memastikan maklumat pengguna dikemas kini pada satu sumber yang sama.
Hanya pengguna yang telah mengemaskini maklumat profil sahaja yang dibenarkan untuk mengakses ke sistem BLESS 1.0 melalui sistem BNG
Bagi meneruskan urusan permohonan baru serta pengurusan lesen BLESS 1.0 pengguna dikehendaki klik pada butang
BLESS 1.0 yang terdapat pada sistem BNG.
Adakah pengguna BLESS 1.0 perlu membuat pendaftaran semula?
Tidak. Pengguna sedia ada boleh menggunakan ID Pengguna dan Kata Laluan yang diperolehi semasa log masuk kali pertama di Sistem BNG.
C. Pengurusan Organisasi Syarikat
Bagaimana saya boleh menambah maklumat syarikat saya?
Anda boleh menambah maklumat syarikat melalui Profil Pengguna dalam Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG).
1. Log masuk ke Sistem BNG.
2. Pergi ke menu Profil Pengguna.
3. Pilih bahagian Organisasi/Syarikat.
4. Klik “Tambah Organisasi/Syarikat”.
5. Masukkan nombor pendaftaran syarikat dan maklumat yang diperlukan.
Sistem akan mendapatkan dan memaparkan maklumat syarikat daripada sumber data yang berkaitan.
Semak maklumat yang dipaparkan dan sahkan untuk menambah syarikat ke dalam profil anda.
Nota: Bagi syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), maklumat syarikat diperoleh melalui integrasi dengan SSM. Pemohon tidak perlu membuat pembelian data SSM secara berasingan.
Bolehkah syarikat berbeza di bawah pemilik yang sama didaftarkan?
Ya. Pemilik boleh mendaftarkan lebih daripada satu syarikat di bawah akaun yang sama, tertakluk kepada pengesahan maklumat syarikat.
Adakah saya perlu membuat pembayaran semasa pendaftaran Organisasi syarikat SSM di BNG?
Tidak. BNG berintegrasi terus dengan data di SSM dan tiada sebarang bayaran atau pembelian SSM diperlukan. Sekiranya terdapat sebarang perubahan terkini, Anda perlu ke pejabat SSM untuk mengemaskini maklumat organisasi anda terlebih dahulu. Kemudian, Anda hanya perlu klik butang Kemas Kini Data SSM di modul organisasi BNG.
Adakah saya masih perlu membuat pembelian Data SSM bagi urusan di BLESS 1.0 ?
Tidak. Mulai 7 September 2026, urusan pengurusan organisasi dan data SSM hendaklah dibuat melalui Sistem BNG. BNG berintegrasi terus dengan data SSM dan tiada sebarang pembayaran diperlukan. Maklumat organisasi yang dikemas kini di BNG akan diintegrasikan ke BLESS 1.0.
Pemohon telah membeli data SSM di BLESS 2.0 sebelum BNG dilancarkan. Perlu beli sekali lagi?
Tidak perlu. BNG berintegrasi terus dengan SSM. Pemohon hanya perlu klik butang Kemas Kini Data
SSM di modul organisasi BNG.
D. Permohonan Lesen
Adakah Bahagian BLESS bertanggungjawab meluluskan permohonan lesen saya?
Tidak. Bahagian BLESS tidak memproses atau meluluskan permohonan lesen.
BLESS Generasi Baharu (BNG) merupakan platform sehenti yang memudah cara urusan permohonan dan pengurusan lesen serta permit secara dalam talian daripada pelbagai agensi Pihak Berkuasa Melesen (PBM). Semua permohonan yang dikemukakan melalui BNG akan diproses, dinilai dan diluluskan oleh PBM yang berkaitan mengikut syarat dan prosedur yang berkuat kuasa.
Apakah jenis lesen perniagaan yang boleh dipohon menerusi BNG?
Bagaimana untuk memohon lesen menggunakan Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG)?
Permohonan lesen boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG) dengan langkah berikut:
1. Log masuk ke Sistem BNG menggunakan ID Pengguna dan kata laluan anda.
2. Pilih jenis lesen yang ingin dipohon melalui fungsi carian lesen.
3. Lengkapkan borang permohonan secara dalam talian.
4. Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan.
5. Semak dan sahkan semua maklumat permohonan sebelum dihantar.
6. Hantar permohonan secara dalam talian.
7. Semak status permohonan melalui Portal BNG di pautan ini :
https://portal.bless.gov.my/semakan-interaktif/Pemohon akan menerima notifikasi berkaitan status dan perkembangan permohonan melalui Sistem BNG.
Bergantung kepada jenis lesen, pemohon mungkin perlu membuat
bayaran fi atau caj berkaitan sebelum permohonan dapat diproses.
Bolehkah saya mengubah permohonan yang telah dihantar?
Tidak. Permohonan yang telah dihantar tidak boleh dipinda oleh pemohon kecuali sekiranya agensi memulangkan semula permohonan untuk pembetulan atau memerlukan maklumat tambahan.
Bagaimana saya menyemak status atau maklumat permohonan?
Pengguna boleh membuat semakan status atau maklumat permohonan melalui fungsi Semakan Pantas dalam Sistem BLESS Generasi Baharu (BNG). Pengguna hanya perlu memasukkan ID Pengguna dan No. Serahan untuk membuat carian dan sistem akan memaparkan maklumat yang berkaitan.
Sila akses halaman Semakan Pantas melalui pautan ini :
https://portal.bless.gov.my/semakan-interaktif/
Adakah lesen yang masih aktif, sah setelah BNG dilancarkan?
Lesen yang telah dikeluarkan melalui Sistem BLESS
kekal sah sehingga tarikh tamat tempoh lesen tersebut.
E. Pembayaran
Adakah pembayaran dalam talian disediakan?
Ya. Modul pembayaran atas talian di BNG menggunakan iPayment dari Jabatan Akauntan Negara. Pemohon perlu mendaftar akaun berasingan di Sistem iPayment.
Adakah saya perlu membuat pembayaran semasa pendaftaran Organisasi syarikat SSM di BNG?
Tidak. BNG berintegrasi terus dengan data di SSM dan tiada sebarang bayaran atau pembelian SSM diperlukan. Sekiranya terdapat sebarang perubahan terkini, Anda perlu ke pejabat SSM untuk mengemaskini maklumat organisasi anda terlebih dahulu. Kemudian, Anda hanya perlu klik butang Kemas Kini Data SSM di modul organisasi BNG.
Bilakah saya perlu membuat bayaran untuk permohonan saya ?
Bayaran perlu dibuat apabila bayaran dikenakan bagi permohonan lesen tersebut. Sistem BNG akan memaklumkan kepada pemohon sekiranya bayaran diperlukan serta jumlah bayaran yang perlu dijelaskan.
Pemohon boleh membuat bayaran secara dalam talian melalui kaedah pembayaran yang disediakan dalam Sistem BNG, tertakluk kepada jenis lesen dan agensi yang berkaitan.
Nota: Tidak semua permohonan lesen dikenakan bayaran.
F. Keselamatan
Adakah maklumat saya selamat dalam Sistem BLESS?
Sistem BLESS menggunakan mekanisme keselamatan yang bersesuaian bagi melindungi data dan maklumat pengguna. Semua maklumat dikendalikan mengikut dasar keselamatan ICT serta peraturan yang berkuat kuasa.
G. Bantuan
Apakah skop bantuan yang disediakan oleh Bahagian BLESS?
Bahagian BLESS menyediakan bantuan dan maklum balas berkaitan penggunaan BLESS Generasi Baharu (BNG), termasuk isu teknikal, akses pengguna, fungsi sistem dan panduan penggunaan platform.
Sebarang pertanyaan berkaitan syarat permohonan lesen, dokumen sokongan, proses penilaian, keputusan kelulusan atau perkara berkaitan lesen hendaklah dirujuk terus kepada agensi Pihak Berkuasa Melesen (PBM) yang berkaitan.
Bagaimanakah saya boleh mengemukakan pertanyaan atau maklum balas kepada agensi pemproses lesen?
Pengguna boleh menggunakan fungsi Pertanyaan atau Maklum Balas yang disediakan dalam rekod permohonan untuk berkomunikasi dengan agensi yang memproses permohonan.